Jumaat, 8 Januari 2010

Amirrudin Juara Pidato Kemerdekaan Antara IPT

Naib Canselor, UPM Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah mengucapkan tahniah kepada Amiruddin atas kejayaannya.

KUALA LUMPUR, 30 Disember – Pelajar Tahun 3 Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua) Universiti Putra Malaysia (UPM), Amirrudin Abdul Rahman muncul juara pertandingan Pidato Kemerdekaan Antara IPT 2009 (kategori Bahasa Melayu).

Amiruddin berkata kemenangan itu amat didambakan kerana beliau tidak berpeluang mewakili UPM pada tahun lalu selepas memberi laluan kepada juara pertandingan, Mohd. Syamsul Salleh yang juga pelajar UPM.

“Pertandingan kali ini amat sengit kerana tiada peserta yang menjadi pilihan daripada 21 calon bertanding,” katanya yang berazam untuk memenangi Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Antarabangsa pada tahun 2010.

Selain pertandingan tersebut, Amiruddin turut memenangi tiga lagi pertandingan pidato peringkat intervarsiti pada tahun ini iaitu Pidato Belia Rakan Muda, Pidato Kepimpinan Peniti V dan Pidato Keselamatan dan Mahasiswa.

Program anjuran Yayasan Tuanku Abdul Rahman, Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu turut menyediakan hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Turut hadir, Rektor UIA, Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid dan Pengerusi Yayasan Tunku Abdul Rahman, Dr. Tengku Abdul Aziz Tengku Zainal.

Amirrudin bersama piala kemenangan Pidato Kemerdekaan Antara IPT 2009 (kategori Bahasa Melayu).


Berita ini disediakan oleh Seksyen Media, Bahagian Komunikasi Korporat UPM.

Tiada ulasan: