Isnin, 9 Jun 2008

ANALISA PERBANDINGAN PRESTASI PASUKAN BAGI TAHUN 2007 DAN 2008

Dalam tempoh 5 bulan pertama iaitu sehingga akhir MEI 2008, prestasi pasukan KDBM@PUTRA dalam pertandingan-pertandingan debat yang telah disertai setakat ini masih belum mencatatkan keputusan yang membanggakan. Lebih membimbangkan adalah prestasi yang sedikit hambar berbanding prestasi yang ditonjolkan dalam tempoh masa yang sama pada tahun 2007.

Sekadar melayakkan diri ke pusingan suku akhir dalam Pertandingan Debat Integriti Perdana IPT 2008 yang diadakan di USM awal Februari lalu merupakan pencapaian terburuk pasukan KDBM@PUTRA yang sebelum ini tidak pernah terlepas dari melangkahkan kaki ke pusingan separuh akhir sejak pertama kali pertandingan debat integriti ini diperkenalkan.

Hasrat untuk mengekalkan kejuaraan dalam Pertandingan Debat Terbuka ASTAR 2008 anjuran Kolej Pertama Universiti Malaya juga tersekat tatkala hanya satu pasukan KDBM@PUTRA daripada 5 pasukan yang dihantar telah melayakkan diri ke pusingan suku akhir sebelum tewas kepada pasukan UiTM Segamat dalam pusingan tersebut.

Nasib pasukan KDBM@PUTRA dalam Pertandingan Debat Perpaduan Dan Integrasi Nasional 2008 yang diadakan di UUM lebih malang apabila hanya layak berada di tangga ke-10 selepas 6 pusingan awal dijalankan sekaligus meranapkan impian untuk memperbaiki prestasi layak ke suku akhir pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan analisa perbandingan terhadap prestasi dan pencapaian KDBM@PUTRA untuk tempoh 5 bulan pertama antara tahun 2007 dan 2008 ini maka dapatlah dirangkumkan bahawa prestasi dan momentum keupayaan yang dimiliki oleh KDBM@PUTRA semakin malap. Maka kita perlu lakukan sesuatu bagi menangani masalah ini dalam kadar segera agar pembukaan fasa kedua tahun 2008 mampu membawa kejayaan-kejayaan yang membanggakan kita sebagai satu pasukan.

Apakah punca prestasi pasukan semakin merudum?? Bagaimana mahu mengatasinya?? Anda ada jawapannya?? Sila tinggalkan komen anda.

p/s : Arau Open, Pengguna, Alam Sekitar dan Kemerdekaan merupakan platform terbaik untuk kita memperbaiki prestasi pasukan sebelum “ROYAL” menjelma!!!!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kejayaan itu bermula dengan kegagalan.

Sama2 lah berusaha untuk mencapai kepda yang lebih baik lagi...