Khamis, 23 Oktober 2008

UPM Naib Juara Debat Kepenggunaan 2008

Dewan Utama MMU Melaka - Pemikir KDBM@PUTRA sedang merakamkan memori kejayaan selepas majlis penyampaian hadiah

Kejayaan pasukan UPM untuk melayakkan diri hingga ke pentas Akhir Debat Kepenggunaan 2008 merupakan satu pencapaian yang membanggakan dalam edisi perdebatan MADUM 2008. Setelah hampir 3 tahun mengalami zaman kemerosotan prestasi dan pencapaian, berkat kerjasama berpasukan dan bantuan yang diberikan oleh pihak HEP dan juga pihak Fakulti Pengajian Pengguna, akhirnya UPM kembali bernyawa dalam memberi saingan.

Pasukan UPM yang bertindak selaku kerajaan hanya mampu berpuas hati dengan gelaran Naib Juara sahaja apabila tewas kepada pasukan berpengalaman dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di pusingan akhir dengan tajuk “KUASA PENGGUNA MENENTUKAN HARGA BARANG”.

Secara rangkumannya :

Pasukan Kepenggunaan UPM 2008 yang diwakili oleh Saudara Mohd Syamsul Bin Salleh, Saudara Amirrudin Abd Rahman, Saudara Ammar Redza Bin Ahamad Rizal yang dibantu oleh Saudara Mohd Badri Bin Ishak bukan sahaja berjaya melayakkan diri ke pentas akhir malah mereka juga berjaya memecahkan rekod pencapaian peribadi UPM apabila menjadi pasukan UPM yang pertama memenangi keenam-enam perlawanan di pusingan saringan tanpa sebarang kekalahan sekaligus melayakkan UPM bergelar juara liga.

Lebih membanggakan apabila kedudukan pendebat keseluruhan juga menyaksikan pasukan UPM adalah satu-satunya pasukan yang berjaya meletakkan ketiga-tiga pendebat utamanya dalam senarai 10 pendebat terbaik keseluruhan kejohanan yang diketuai oleh Saudara Ammar Redza Ahmad Rizal di tempat ke-3, manakala Saudara Mohd Syamsul Bin Salleh dan Saudara Amirrudin Abd Rahman berkongsi mata di tangga ke-5.

Diharapkan pencapaian dalam Debat Kepenggunaan 2008 ini akan menjadi pembakar semangat kepada pemikir-pemikir KDBM@PUTRA dalam meningkatkan usaha dan prestasi mereka bagi mengembalikan kegemilangan UPM di pentas perdebatan.

Kejayaan kami, adalah kejayaan kita semua.