Selasa, 9 Disember 2008

UPM Muncul Juara Debat Di Raja Kali Ke-12


Universiti Putra Malaysia (UPM) kembali melakar sejarah di pentas perdebatan IPT apabila berjaya merangkul kejuaraan dalam Pertandingan Debat Piala Di Raja IPTA Kali Ke-12 yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pertandingan berprestij tahunan kali ini telah diadakan pada 28 November 2008 hingga 04 Disember 2008 yang turut melibatkan penyertaan terbanyak iaitu sebanyak 64 pasukan daripada 19 universiti awam seluruh Malaysia.

Bertindak selaku kerajaan dalam membahaskan usul “Rumah Putih Cuma Bertukar Warna”, Pasukan UPM Utama B yang diwakili oleh Mohd Syamsul Bin Salleh, Ammar Redza Ahmad Rizal, Amirrudin Bin Abd Rahman dan Nurul Syafiqah Ahmad Shokhaily telah dinobatkan sebagai Juara kejohanan apabila berjaya menewaskan pasukan tuan rumah iaitu pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kemenangan tipis 4-3 dan saudara Amirrudin telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik perlawanan akhir kejohanan.

Bagi kategori muda pula, bertindak selaku pembangkang dalam membahaskan usul “Perubahan Iklim Dunia Tanggungjawab Negara Dunia Ketiga”, Pasukan UPM Muda B yang diwakili oleh Nor Fara Syazwani Jufrin, Muhammad Badri Ishak, Norlida Idrus dan Norazwin hanya sekadar berpuas hati dengan gelaran Naib Juara apabila tewas kepada pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam perlawanan akhir yang berlangsung lebih awal sebelum perlawanan kategori utama diadakan. Saudari Nor Fara Syazwani Jufrin telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik akhir kategori muda 2008.

Kontinjen Debat Di Raja UPM 2008 yang diketuai oleh saudara Fadzril Izwan Jamaldin telah mencatatkan sejarahnya tersendiri kerana kejayaan merangkul gelaran juara kategori utama, naib juara kategori muda dan membolot anugerah pendebat terbaik akhir bagi kategori utama dan muda, merupakan rekod pencapaian terbaik UPM dalam edisi debat di raja IPTA.

Kejayaan dan kecemerlangan yang berjaya diraih oleh Kontinjen UPM tahun ini adalah disebabkan berkat kerjasama, komitmen dan semangat berpasukan yang tinggi yang telah ditonjolkan oleh para pendebat sepanjang sesi latihan intensif berpusat dijalankan.

Ucapan terima kasih turut dikalungkan kepada alumni debat UPM, pihak HEP UPM, Kolej Ke-13 dan semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam usaha mengembalikan kegemilangan debat UPM di peringkat IPT Malaysia.

Semoga kejayaan ini akan menjadi perintis kepada kecemerlangan UPM dalam pertandingan-pertandigan yang akan datang. Tahniah UPM!!!

p/s : gambar dan laporan prestasi setiap pasukan akan diterbitkan kemudian.

2 ulasan:

law berkata...

tahniah atas kemenangan upm sbgai juara..

khazaidi kamaruddin berkata...

tahniah kepd UPM